Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?
Jawapannya seperti berikut :-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan
pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya
terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit
dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan
menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di
pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke
belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat
nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil
menayangkan betis sepanjang jalan.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah
tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari
firman Allah SWT: ertinya :
"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke
dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA
YANG TERZAHIR." (An-Nur: 31)
Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat
dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama'
(bentuk plural) dari kata jaibun, iaitu belahan dada yang terbuka, tidak
tertutup oleh pakaian/baju.
Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung
dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang
boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh
orang-orang yang jahat hatinya.
Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan
perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk
mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan
potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan
sebagainya.
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang
perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk
dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang
terzahir. Oleh karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa
terzahir itu serta ukurannya.
Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia
berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.
Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas bin Malik.
Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga
kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah
apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha', Auza'i
dan lain-lain.
Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan
lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan
demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah
dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai
ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.
Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan
make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang
untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua
termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai
kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di
luar rumah, adalah untuk menarik perhatian lelaki. Jadi jelas hukumnya adalah
haram.
Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus
bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu
sendiri kalau mungkin, demi menjaga meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan
di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai
paras yang cantik yang sangat dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah.
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan
aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (An-Nur: 31)
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT
Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa
isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori
hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat
diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia
boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah,
bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya
hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka
aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari
firman Allah ertinya :-
"Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya
untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya
.." Al-A'raf : 20)
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki
dan wanita untuk menutup aurat adalah :-
a) Perbezaan dengan binatang
Allah SWT berfirman :
"Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian
yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan." ( Al-A'raf : 26)
Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada
sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru
barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan
tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi
menjalankan arahan penutupan aurat.
b) Agar kaum wanita tidak disakiti
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini
bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila
Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar
dikenali (sebagai wanita Islam).. »
Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat
juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : «
Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan
hati »
d) Tanda profesionalisme dalam sistem pemakaian Islam.
Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi
atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi
kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas
bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak
akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa
di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di
Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang
tidak beruniform.
Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang
profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut
kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas
hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah
umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard'
pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan
dengan logik aqal manusia yang sihat.
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan
mereka kepada Allah SWT.
Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya :
"Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik
amalannya" (Al-Mulk : 2)
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER
Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga
mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang
sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta
mendedahkan aurat.
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini,
berzina, khalwat dan macam-macam lagi." Katanya memberi buah fikirannya.
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak
mengumpat dan buat benda-benda tak elok." Tambah wanita ini lagi.
Benarkah hujah mereka? Benarkah penampilan luaran tidak
terpakai di dalam Islam? Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas
berhujah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sahih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa
luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu." (HR
Muslim)
Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat
orang yang sewenangnya berhujah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya
digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.
"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang
bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss
masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak
cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu?"
Lalu jawab si pekerja : "Saya luaran je nampak main
‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang."
Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya
itu? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan
melanggar perintah-Nya ? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah
ditentukan mengikut neraca Allah dan Rasul-Nya, bukannya neraca pemikiran kita
semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya
:
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada
seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila
buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (HR
Muslim)
Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati
seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya,
bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam,
ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan
dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat
pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah
samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar
menunjuk-nunjuk sahaja.
Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases'
iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is
reflecting what's inside the heart of a person.'
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan
hadith :
"Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa
membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami
lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan
hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi
hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang
benar dalam berhujah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal
menjadi sepotong api neraka." (Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi dan lain-lain,
rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )
Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam
Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan.
Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda
keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap
baik oleh Islam.
Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan
auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia
memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi
kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya.
Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di
satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW,
"Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke
atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun
dosanya." (HR Ahmad dan lain-lainnya)
Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu
mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya
mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi
setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik?
Setelah gunungan dosa mengkaratkan hatinya?
Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih.
Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang
berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu
benar, Rasul-Nya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya
maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
fb : Sham Kamikaze